KUCHING: Pergerakan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkukuh kesiapsiagaan organisasi dan penyelarasan gerak kerja di peringkat akar umbi bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam proses demokrasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ketua Wanita GPS, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persiapan organisasi kini berada pada tahap bersedia dengan pembahagian tugas yang jelas bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Menurut beliau, antara tumpuan utama ialah usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi melalui pendekatan komunikasi yang bersesuaian dengan keperluan dan latar belakang masyarakat di setiap kawasan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS Ke-13 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar di Ibu Pejabat Parti PBB di sini, pada Selasa.
Mengulas persiapan berkenaan, Dato Sri Fatimah berkata, pendekatan komunikasi akan disesuaikan mengikut profil pengundi di setiap kawasan, termasuk melalui pertemuan bersemuka, aktiviti turun padang dan penggunaan platform dalam talian.
Katanya, pengalaman anggota organisasi sedia ada turut digabungkan dengan penggunaan teknologi baharu bagi memperluas capaian maklumat kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan lokaliti.
Pendekatan itu juga bertujuan memastikan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penyertaan dalam proses pilihan raya.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Hazryn Sunaini