Komuniti Saudara Kita Aset Penting Pembangunan Sarawak
KUCHING: Komuniti Saudara Kita berperanan penting dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak menerusi penguasaan ilmu, peningkatan kemahiran serta penglibatan aktif dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, keusahawanan dan kepimpinan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, potensi dan kebolehan komuniti berkenaan perlu terus diperkasa bagi memastikan mereka turut menikmati peluang pembangunan serta menyumbang kepada kemajuan negeri.
“Dalam kerangka ini, masyarakat Saudara Kita mempunyai peranan yang penting sebagai sebahagian daripada kekuatan pembangunan negeri.
“Pengalaman, ilmu dan kebolehan yang dimiliki merupakan aset yang dapat terus dikembangkan untuk manfaat masyarakat,” katanya ketika Majlis Penangguhan Konvensyen Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di sini pada Selasa.
Beliau menambah, pencapaian komuniti Saudara Kita dalam bidang pendidikan, perkhidmatan awam, keusahawanan, kepimpinan dan pembangunan komuniti membuktikan keupayaan mereka untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan individu yang telah mencapai kejayaan supaya berkongsi pengalaman dan kepakaran serta memberikan bimbingan kepada generasi muda bagi melahirkan lebih ramai anggota komuniti yang berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara institusi agama, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan kepimpinan masyarakat bagi memastikan komuniti Saudara Kita di seluruh Sarawak mendapat akses kepada pelbagai peluang pembangunan yang disediakan kerajaan.-EDISI UKAS