Semua Projek RTP DUN Pantai Damai 2015 Hingga 2025 Siap Sepenuhnya
KUCHING: Semua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai bagi tempoh 2015 hingga 2025 telah disiapkan sepenuhnya, manakala projek yang diluluskan pada tahun 2026 masih dalam pelaksanaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tiada projek RTP di kawasan berkenaan yang terbengkalai, sebaliknya terdapat beberapa projek mengalami kelewatan disebabkan kekangan teknikal.
Menurut beliau, antara faktor yang mempengaruhi tempoh pelaksanaan projek termasuk urusan pelantikan kontraktor, kelulusan tanah serta kebenaran laluan (wayleave).
“Di kawasan Pantai Damai saya boleh katakan bahawa tiada projek yang terbengkalai, hanya ada kelewatan kerana faktor-faktor tersebut. Jadi kita sentiasa pantau untuk memastikan bahawa projek-projek kita dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan Konvensyen Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RTP yang diperkenalkan sejak 2015 menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada setiap kawasan DUN bagi melaksanakan projek pembangunan berdasarkan keperluan masyarakat setempat.
Jelasnya, cadangan projek dikenal pasti di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) melalui perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum dikemukakan kepada pusat khidmat wakil rakyat untuk penelitian.
Katanya, urusan pemilihan projek, pelantikan kontraktor dan pelaksanaan diselaraskan oleh Pejabat Daerah serta Pejabat Residen, manakala pusat khidmat wakil rakyat memainkan peranan dalam memantau kemajuan projek yang diluluskan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek RTP tahun 2026, beliau turut mengadakan lawatan pemantauan bersama agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Sarawak Energy Berhad (SEB).
Pemantauan itu melibatkan projek menaik taraf jalan dan sistem perparitan serta penyediaan infrastruktur asas termasuk jeti nelayan dan jeti pejalan kaki.-EDISI UKAS