Hutan Bakau Kuala Selalang Berpotensi Jadi Tapak Ramsar Kedua Sarawak
KUCHING: Usaha mencalonkan kawasan Hutan Bakau Kuala Selalang di Sarikei sebagai tapak Ramsar kedua di Sarawak terus dipergiatkan menerusi penyelidikan saintifik bagi menyediakan bukti dan maklumat menyeluruh mengenai kepentingan ekosistem tanah lembap berkenaan.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, penyelidikan saintifik memainkan peranan penting dalam memastikan usaha pemuliharaan hutan dilaksanakan berasaskan data, bukti dan pemahaman mendalam terhadap ekosistem yang dilindungi.
Menurut beliau, pemuliharaan hutan tidak seharusnya bergantung kepada dasar dan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong hasil penyelidikan yang mampu membantu merangka strategi pengurusan lebih mampan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik Kuala Selalang Mangrove 2026 di Imperial Hotel Kuching, di sini, pada Selasa.
Ekspedisi saintifik yang dilaksanakan pada 21 hingga 26 November 2025 itu merupakan sebahagian daripada Projek Perlindungan dan Konservasi Kawasan Tanah Lembap dan Tadahan Air di kawasan Heart of Borneo (HoB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Ekspedisi berkenaan berjaya merekodkan 11 spesies flora daripada lima famili, dengan famili Rhizophoraceae dikenal pasti sebagai famili dominan, termasuk spesies Bruguiera gymnorrhiza, Rhizophora apiculata dan Xylocarpus granatum.
Dari aspek fauna, beberapa spesies hidupan liar seperti Monyet Belanda, Lutong dan Ular Bakau turut direkodkan, selain pelbagai spesies burung termasuk Blue-tailed Bee-eater dan Chestnut-bellied Malkoha.
Datu Hamden berkata, ekosistem hutan bakau mempunyai nilai ekologi yang tinggi kerana berfungsi sebagai habitat semula jadi pelbagai spesies, benteng perlindungan pantai daripada hakisan serta kawasan pembiakan hidupan marin.
Malah, keupayaannya menyerap dan menyimpan karbon turut menjadikan hutan bakau sebagai aset penting dalam menangani perubahan iklim, selain menyokong pembangunan ekonomi hijau dan biru.
Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pencalonan kawasan Delta Rajang, termasuk Hutan Bakau Kuala Selalang sebagai tapak Ramsar telah dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk pertimbangan selanjutnya.
Ketika ini, Sarawak mempunyai satu tapak Ramsar yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Taman Negara Tanah Lembap Kuching (Kuching Wetlands National Park) yang meliputi kawasan seluas lebih 6,610 hektar.
Seminar berkenaan turut menampilkan lapan pembentang, terdiri daripada tujuh penyelidik Jabatan Hutan Sarawak dan seorang ahli akademik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), yang berkongsi dapatan penyelidikan merangkumi aspek biodiversiti, struktur hutan, hidrologi, fauna dan sosioekonomi.
Hadir sama Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Mohizah Mohamad dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Susie Dominic Junit.-EDISI UKAS