Sarawak, India Berpotensi Perkukuh Kerjasama Dalam Pelbagai Sektor
KUCHING: India melihat Sarawak sebagai rakan strategik yang mempunyai potensi besar untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, perdagangan, perniagaan, teknologi tinggi dan farmaseutikal.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Somnath Ghosh berkata, kerjasama ini mampu menarik minat penduduk India untuk bekerja dan melabur di Sarawak, termasuk menjadi destinasi pelancongan kepada rakyat negara tersebut.
"Rakyat India boleh bekerja dan melabur di Sarawak, selain pelancong dari India berpeluang mengunjungi negeri ini.
"Mereka juga boleh meneroka peluang pelaburan di taman perindustrian yang sedang dibangunkan serta sektor infrastruktur.
"Kami mahu bekerjasama di Sarawak dan saya berharap dapat menjalin kerjasama dengan pentadbiran serta rakyat Sarawak sepanjang tempoh perkhidmatan saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, Sarawak mempunyai hubungan persahabatan yang erat dengan India, selain masyarakat India telah menetap di negeri ini sejak beberapa generasi lalu.
Tambahnya, pertemuan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak turut membincangkan pelbagai peluang kerjasama dalam sektor berkenaan yang akan memperkukuhkan hubungan di antara kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, Somnath memberitahu, lawatan ke Sarawak merupakan antara kunjungan terawal beliau ke negeri-negeri di Malaysia sejak dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia pada minggu pertama September 2026.
Kehadirannya di Sarawak juga bagi menyertai South Asian International Women's Assembly (SIWA) 2026 di mana beliau menyampaikan ucapannya semasa majlis perasmian.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Hendy Hasan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim