KUCHING: Penganjuran South Asian International Women’s Assembly (SIWA 2026) menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kepimpinan wanita serta membuka peluang kerjasama rentas negara dalam bidang ekonomi, keusahawanan dan pembangunan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, persidangan itu mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan kepimpinan wanita, memperluas jaringan strategik serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada wanita untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Menurut beliau, kejayaan SIWA menganjurkan perhimpunan antarabangsa itu amat membanggakan memandangkan organisasi berkenaan mewakili komuniti minoriti yang relatif kecil di Sarawak, namun berjaya mengatasi pelbagai cabaran bagi merealisasikan penganjuran tersebut.
“Saiz sesebuah organisasi atau populasi yang diwakilinya tidak seharusnya menentukan sejauh mana besar aspirasi yang ingin dicapai,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg semasa Majlis Perasmian SIWA 2026 pada Rabu.
Beliau menambah, pemerkasaan wanita perlu disokong dengan peluang sebenar dalam bidang ekonomi, keusahawanan, pembangunan profesional serta penglibatan dalam jawatan kepimpinan dan proses membuat keputusan.
Katanya, Sarawak terus komited menyediakan akses saksama kepada wanita dalam bidang pendidikan, sumber kewangan, teknologi digital dan pembangunan profesional selaras dengan agenda pembangunan inklusif dan mampan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Dalam pada itu, beliau berkata SIWA turut memainkan peranan penting dalam memelihara warisan wanita India di Sarawak menerusi penerbitan buku meja kopi Sarawak Indian Women Heritage yang dilancarkan oleh mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 16 Oktober 2017.
Sehubungan itu, beliau berharap SIWA dapat menerbitkan sebuah lagi buku bagi mendokumentasikan perkembangan, pencapaian dan sumbangan wanita India di Sarawak dalam era selepas kemerdekaan supaya sejarah serta jasa mereka terus diiktiraf dan diwarisi generasi akan datang.
Beliau turut memuji komitmen jawatankuasa penganjur yang berjaya merealisasikan persidangan itu meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketegangan geopolitik dan konflik antarabangsa yang menjejaskan perjalanan serta penyertaan delegasi, selain kekangan logistik dan sumber.
Dalam masa sama, beliau berharap perhimpunan itu dapat menghasilkan kerjasama bermakna dalam bidang perniagaan, bimbingan, pertukaran ilmu dan kerjasama institusi, selain menterjemahkan perbincangan sepanjang persidangan kepada inisiatif praktikal yang memberi manfaat kepada wanita dan masyarakat.
SIWA 2026 bertemakan “Empowering Women, Transforming Societies: Building a Stronger South Asia Diaspora” menghimpunkan pemimpin wanita, golongan profesional, ahli akademik dan penggerak masyarakat dari Asia Selatan serta komuniti antarabangsa bagi memperkukuh jaringan dan kerjasama dalam agenda pemerkasaan wanita.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia H.E. Somnath Ghosh, Pengerusi SIWA 2026 Profesor Veena Sikri, Presiden Sarawak Indian Women Association (SIWA) merangkap Pengerusi Penganjur SIWA 2026 Penghulu Paliani Samba Bilaidom @ Lucy Lingam, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Sharifah Zakiah Tuanku Pauzi.- EDISI UKAS