SERIAN: Projek pemasangan 700 unit lampu jalan jenis Light Emitting Diode (LED) sepanjang 24 kilometer dari Kampung Sangai Empani hingga ke simpang Batu 11 bernilai RM5.1 juta dijangka meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, projek yang dilaksanakan menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu melibatkan dua fasa pelaksanaan.
Menurutnya, sebanyak 350 unit lampu jalan di bawah Fasa 1 telah siap dipasang, manakala baki 350 unit lagi di bawah Fasa 2 masih dalam proses pembinaan.
"Pelaksanaan projek pemasangan lampu jalan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada kampung-kampung di sepanjang laluan berkenaan, khususnya dari segi peningkatan pencahayaan, keselamatan perjalanan serta keselesaan penduduk yang menggunakan jalan tersebut pada waktu malam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Simbolik Pelancaran Lampu Jalan Projek GKCDA di Kampung Paon Rimu, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, projek berkenaan turut melibatkan pemasangan tujuh unit transformer serta penggunaan lampu LED yang beroperasi dengan bekalan elektrik selama 24 jam
Menurutnya, ini bagi memastikan pencahayaan di sepanjang jajaran berkenaan dapat disediakan secara berterusan.
Selain itu katanya, pemasangan lampu, kerja-kerja infrastruktur sokongan turut merangkumi penyediaan kotak kawalan, kabel bawah tanah serta kerja-kerja Horizontal Directional Drilling (HDD) mengikut reka bentuk kejuruteraan dan keperluan tapak. -EDISI UKAS