12 Penduduk Di Lundu Terima Sumbangan Bakul Makanan
LUNDU: Seramai 12 penduduk dari Kampung Bengang dan Kampung Stunggang Dayak menerima sumbangan bakul makanan dalam satu program kebajikan yang diadakan pada Selasa.
Inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban perbelanjaan harian.
Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu, Datuk Amar Jamilah Anu hadir menyampaikan sumbangan kepada penerima, selain meluangkan masa beramah mesra dan mendengar pandangan penduduk.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, tujuh orang merupakan penduduk Kampung Bengang, manakala lima lagi dari Kampung Stunggang Dayak.
Selain itu, beliau menasihatkan penduduk supaya lebih berwaspada ketika menerima dan berkongsi maklumat menerusi media sosial, khususnya Facebook.
Katanya, setiap maklumat perlu disemak kesahihannya terlebih dahulu bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS