Hadiah Lima Kereta, Tiga Motosikal & Jongkong Emas Antara Tarikan SKS Kuching 2026
KUCHING: Pengunjung Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi e-peraduan termasuk tiga buah kereta Proton e.MAS, sebuah Proton Saga, sebuah Perodua Bezza, tiga buah motosikal, jongkong emas, MacBook, tiket penerbangan ke Jakarta serta tiket menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Johor.
Program yang bakal berlangsung di Metro City, Matang pada 24 hingga 25 November ini menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dengan menawarkan sebanyak 199 perkhidmatan daripada 58 agensi kerajaan bagi memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan secara langsung.
Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Mursi berkata, penganjuran SKS Kuching amat signifikan kerana menjadi lokasi terakhir daripada keseluruhan 12 siri jelajah program berkenaan di setiap bahagian Sarawak sepanjang tahun ini.
Menurutnya, program itu memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara bersemuka dengan agensi kerajaan, sekali gus mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berhubung inisiatif, bantuan serta kemudahan yang disediakan Kerajaan Sarawak.
“Walaupun sekarang kita mempunyai media sosial untuk mendapatkan maklumat, apabila rakyat datang ke pavilion dan pameran, mereka boleh mengetahui sendiri maklumat yang sahih serta bertanya secara terus kepada petugas agensi terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Rabu.
Majlis perasmian program berkenaan dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 25 November ini jam 3 petang.
Tambah beliau, antara perkhidmatan yang disediakan termasuk kaunter Skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (SKAS), JobSarawak, maklumat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), saringan kesihatan, perkhidmatan berkaitan pengiktirafan status anak negeri Sarawak serta pelbagai urusan agensi kerajaan.
Selain memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan, SKS Kuching turut menyediakan 50 gerai Kuching Kitchen, perkhidmatan gunting rambut dan urutan percuma serta konsert rakyat bagi menarik penyertaan semua lapisan masyarakat.
Program itu turut menampilkan persembahan artis tempatan termasuk Dato’ Jamal Abdillah pada malam 24 November, selain pelbagai aktiviti yang dirancang khusus untuk kanak-kanak, golongan dewasa dan warga emas.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Asyafiee Madzihi