Jaringan Jambatan Perkukuh Perhubungan, Rancakkan Ekonomi Luar Bandar
TANJUNG MANIS: Pembangunan jaringan jambatan di Sarawak terus memperkukuh hubungan antara kawasan penempatan, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pembangunan infrastruktur perhubungan merupakan pendekatan kerajaan negeri untuk merapatkan hubungan antara kampung dan rumah panjang, khususnya di kawasan yang sebelum ini mempunyai akses terhad.
“Jadi inilah satu-satunya pendekatan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak kita untuk mendekatkan lagi kampung-kampung dan rumah panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Belawai di Pantai Belawai, pada Rabu.
Menurut beliau, jaringan perhubungan yang menghubungkan Kampung Belawai, Kampung Rajang dan Tanjung Manis, termasuk akses dari Sibu, memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Katanya, pembinaan jambatan seperti Jambatan Batang Paloh, Batang Lassa dan Batang Krian serta beberapa jambatan lain membantu meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan penempatan.
Selain memendekkan masa perjalanan, kemudahan itu turut memudahkan penduduk memasarkan hasil pertanian dan produk tempatan ke kawasan yang mempunyai peluang pasaran lebih luas.
Peningkatan akses perhubungan berkenaan juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menikmati kemudahan dan manfaat pembangunan yang lebih seimbang, seterusnya merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.-EDISI UKAS