Pantai Belawai Bakal Dinaik Taraf, Projek Ditender Tahun Depan
TANJUNG MANIS: Keseluruhan kawasan Pantai Belawai bakal dinaik taraf menerusi projek pembangunan yang dijadualkan ditender pada tahun depan bagi memperkukuh potensi kawasan itu sebagai destinasi pelancongan di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek berkenaan dijangka mengambil masa tiga tahun setengah untuk disiapkan selepas proses tender dilaksanakan.
“Insya-Allah dalam tahun depan ia akan ditenderkan. Ia akan mengambil masa untuk disiapkan dalam masa tiga tahun setengah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Belawai di Pantai Belawai, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, pembangunan itu merupakan sebahagian daripada perancangan strategik jangka panjang bagi memastikan Pantai Belawai terus mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelancongan pada masa hadapan.
Katanya, perancangan berkenaan turut mengambil kira keperluan masyarakat setempat supaya kemudahan yang dibangunkan dapat memberikan manfaat berterusan, selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan di kawasan itu.
Beliau berkata, pelaksanaan pembangunan secara terancang amat penting bagi memastikan setiap komponen projek dapat dilaksanakan dengan teratur serta memenuhi keperluan kawasan berkenaan.
Projek naik taraf itu dijangka memberikan nilai tambah kepada Pantai Belawai, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan berpotensi di Sarawak.- EDISI UKAS