Hadiah Kereta, Konsert Rakyat Antara Tarikan SKS Samarahan 2026, Sasar Lebih 50,000 Pengunjung
KUCHING: Peluang memenangi sebuah kereta Perodua Axia, iPhone 17 dan pelbagai hadiah menarik menerusi e-peraduan, selain persembahan konsert rakyat menampilkan barisan artis popular tanah air, dijangka menjadi tarikan utama Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan pada 22 hingga 23 November ini.
Menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, program berkenaan turut menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, aktiviti keusahawanan, pameran inovasi serta hiburan untuk seisi keluarga.
Antara hadiah lain yang ditawarkan menerusi e-peraduan ialah MacBook, iPad, dron dan PlayStation 5, manakala konsert rakyat bakal dimeriahkan dengan persembahan Ezad Lazim, Bob Yusof serta artis tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran SKS bukan sekadar menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, malah menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat menerusi komunikasi dua hala.
Menurutnya, program berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai inisiatif, pencapaian dan perancangan Kerajaan Sarawak, selain menyuarakan keperluan serta permasalahan kepada agensi berkaitan.
“Kalau kita menjalankan pentadbiran tanpa ada perhubungan dengan masyarakat, tidaklah juga manisnya. Jadi, mesti ada ‘two-way traffic’ atau komunikasi dua hala.
“Apa yang dibuat kerajaan, rakyat mesti mengetahui dan rakyat juga boleh memaklumkan masalah serta perkara yang ingin diketahui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Rabu.
Majlis perasmian program berkenaan dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 23 November ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, pelbagai perkhidmatan disediakan bagi memudahkan masyarakat berurusan secara langsung dengan jabatan serta agensi kerajaan yang mengambil bahagian.
Antaranya termasuk pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan, kaunter Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), penyampaian maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) serta perkhidmatan saringan kesihatan dan kecergasan.
Katanya, pendekatan itu membolehkan rakyat mendapatkan penjelasan secara bersemuka mengenai bantuan, kemudahan dan dasar kerajaan, sekali gus memastikan maklumat yang diterima adalah tepat serta mudah difahami.
Selain perkhidmatan kerajaan, program berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan tempatan, khususnya golongan muda, untuk memperkenalkan dan memasarkan produk serta perkhidmatan masing-masing kepada pengunjung.
Beliau berkata, aktiviti jualan dan hiburan yang dianjurkan juga memberi ruang kepada penggiat industri kreatif tempatan mengetengahkan bakat, memperluas jaringan serta menimba pengalaman dalam bidang berkenaan.
Sementara itu, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang berkata, sebanyak 50 reruai jualan disediakan bagi memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan pelbagai produk makanan, minuman dan hasil inovasi.
Menurutnya, penyertaan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali pelbagai produk inovasi yang berpotensi dikomersialkan.
Beliau berkata, persiapan penganjuran kini berada pada peringkat akhir bagi memastikan kelancaran program serta keselesaan pengunjung sepanjang dua hari berlangsungnya SKS Samarahan 2026.-EDISI UKAS