Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Di Lawas Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan Awam
LAWAS: Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Lawas yang bernilai RM173 juta bakal memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi penyediaan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan dalam satu lokasi bagi memudahkan urusan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, bangunan setinggi 15 tingkat itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan pentadbiran semasa, seiring dengan pertambahan penduduk dan perkembangan kegiatan ekonomi di wilayah utara Sarawak.
“Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di sini ini amat bertepatan dengan keperluan semasa seiring dengan peningkatan penduduk dan perkembangan kegiatan ekonomi yang menuntut penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, pantas dan mudah diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Rabu.
Pusat pentabiran berkenaan turut dilengkapi Sarawak Service Centre, dewan persidangan, bilik mesyuarat, ruang solat dan tempat letak kenderaan.
Bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan akses, bangunan itu juga menyediakan sembilan lif, termasuk tiga untuk akses ke dewan, selain laluan landai dan tandas mesra orang kurang upaya (OKU).
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, kompleks pentadbiran baharu itu bukan sahaja menyediakan ruang pejabat dan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada penjawat awam, malah berfungsi sebagai pusat sehenti bagi memudahkan masyarakat berurusan dengan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.
“Inilah tujuan utama bangunan ini dibina, iaitu untuk berfungsi sebagai pusat sehenti atau one-stop centre,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur moden perlu disusuli peningkatan mutu perkhidmatan, kecekapan pengurusan serta kerjasama erat antara jabatan dan agensi kerajaan.
“Setiap maklum balas yang diterima perlu diteliti dan disusuli dengan tindakan. Saya mahu pusat pentadbiran ini bukan sahaja menjadi tempat kita menjalankan tugas, tetapi juga menjadi contoh bagaimana jabatan dan agensi kerajaan boleh bekerjasama sebagai satu pasukan,” tegasnya.
Sementara itu, beliau berharap kemudahan berkenaan menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, cekap dan berorientasikan rakyat, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Lawas secara menyeluruh.-EDISI UKAS