Projek Jalan Baharu Tingkat Akses Perhubungan Kujang Sain–Daha Kisau
TEBEDU: Projek pembinaan jalan baharu sepanjang 4 kilometer (km) yang menghubungkan Kampung Kujang Sain ke Kampung Daha Kisau dengan kos RM6.4 juta bakal meningkatkan kemudahan perhubungan serta merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk luar bandar di kawasan Tebedu.
Projek yang dilaksanakan menerusi Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperluas jaringan infrastruktur jalan raya, khususnya bagi meningkatkan akses penduduk ke kemudahan asas dan pusat kegiatan ekonomi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi GKCDA, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang, termasuk di kawasan pedalaman.
Menurut beliau, pembangunan yang dirancang bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan jalan raya yang lebih selamat dan selesa, malah turut merangkumi penyediaan pelbagai kemudahan asas bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Serah Tapak Projek GKCDA bagi Pembinaan Jalan Baharu Kampung Kujang Sain ke Kampung Daha Kisau di Kampung Kujang Sain pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kesemua lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bidayuh turut menerima manfaat daripada peruntukan pembangunan GKCDA berjumlah RM1.5 bilion bagi memastikan keperluan infrastruktur masyarakat setempat terus diberi perhatian.
Katanya, projek pembangunan yang dilaksanakan ketika ini merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan yang telah melalui proses kelulusan dan dokumentasi mengikut prosedur ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan serta majlis penyerahan tapak projek berkenaan bukan bertujuan untuk kempen politik, sebaliknya merupakan kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirancang oleh GKCDA bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Sementara itu, projek jalan baharu berkenaan dilaksanakan oleh JKR Sarawak dengan Jurutera Bahagian Serian bertindak sebagai Pegawai Penguasa Projek.
Kerja pembinaan telah bermula pada 9 Mac 2026 dan dijadualkan siap pada 8 Mac 2027, tertakluk kepada keadaan cuaca serta kelancaran pelaksanaan projek.
Apabila siap kelak, jalan baharu itu dijangka menyediakan laluan perhubungan yang lebih baik, selamat dan selesa kepada penduduk Kampung Kujang Sain, Kampung Daha Kisau serta kawasan sekitarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik dan Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong.-EDISI UKAS