Pendidikan Holistik Penting Lahir Generasi Berdaya Saing
PAKAN: Kecemerlangan pendidikan perlu dinilai menerusi pembangunan murid secara menyeluruh termasuk pencapaian akademik, pembentukan sahsiah serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, setiap murid perlu diberi peluang mengembangkan potensi masing-masing dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti sukan memberi ruang kepada murid untuk membina disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan yang menjadi asas penting dalam pembentukan keperibadian.
“Melalui aktiviti sukan, murid-murid bukan sahaja dapat membina kecergasan dan kesihatan fizikal, malah berpeluang mempelajari nilai-nilai penting seperti disiplin, kerjasama, kepimpinan, semangat berpasukan dan ketabahan menghadapi cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kejohanan Balapan di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Pakan 2026 di sini, pada Rabu.
William berkata, pencapaian akademik bukan satu-satunya ukuran kejayaan seseorang murid kerana keupayaan membawa diri, menghormati orang lain dan menghadapi cabaran turut mencerminkan kecemerlangan individu.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan mengenal pasti kebolehan serta kecenderungan setiap murid agar bakat mereka dapat diasah melalui penyertaan dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum.
Dalam pada itu, William berkata, usaha memperkukuh pembangunan pendidikan memerlukan komitmen bersama pihak sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat.
Katanya, sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif, sekali gus meningkatkan keyakinan murid untuk mencapai potensi terbaik.
Beliau turut menggesa murid supaya tidak menjadikan kegagalan sebagai penghalang untuk berjaya, sebaliknya terus berusaha, berani mencuba dan menetapkan matlamat lebih tinggi dalam kehidupan.-EDISI UKAS