Naik Taraf Jeti Kayu Rumah Stanley Jelian Bawa Nafas Baharu Kepada Penduduk Luar Bandar
SIBU: Penduduk Rumah Stanley Jelian di Tanjung Penasu kini boleh menarik nafas lega apabila kemudahan pengangkutan sungai di perkampungan mereka kini lebih selamat, kukuh dan selesa susulan siapnya projek naik taraf jeti kayu rumah panjang berkenaan.
Projek yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) itu merupakan usaha berterusan dalam menangani isu infrastruktur asas yang uzur, khususnya bagi komuniti luar bandar yang terus bergantung kepada pengangkutan sungai sebagai laluan harian.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie berkata kejayaan menyiapkan projek berkenaan membuktikan bahawa keperluan masyarakat luar bandar tidak pernah dipandang ringan, biarpun melibatkan projek berskala kecil.
“Penambahbaikan infrastruktur luar bandar tidak semestinya melibatkan projek berskala besar.
“Kerja-kerja naik taraf yang kecil sekalipun mampu membawa perubahan yang bermakna dan positif kepada masyarakat, asalkan ia memenuhi keperluan sebenar penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa projek itu bermula susulan aduan serta keprihatinan Tuai Rumah Stanley dan penduduk rumah panjang kepada Kaunselor Johnny Ganning mengenai keadaan jeti lama yang semakin uzur selepas bertahun-tahun digunakan.
Menyedari kepentingan kemudahan itu dalam rutin harian penduduk, Johnny mengambil inisiatif menyelaras serta membuat tindakan susulan yang erat bersama pihak MDLBS.
Hasil kerjasama erat dengan pihak berkuasa berkaitan, permohonan peruntukan melalui dana BP1 akhirnya diluluskan, sekali gus membolehkan kerja-kerja naik taraf dilaksanakan dengan lancar.
Lau menegaskan bahawa kemudahan baharu itu amat kritikal bagi penduduk yang masih bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan sungai untuk urusan harian.
“Jeti yang telah dinaik taraf ini akan menyediakan kemudahan yang lebih selamat, kukuh dan selesa kepada penduduk setempat, khususnya mereka yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai untuk perjalanan harian,” jelasnya.-EDISI UKAS