Kontinjen Pickleball MAKSAK Sarawak Sedia Galas Cabaran Peringkat Kebangsaan
KUCHING: Kontinjen Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sarawak bersedia menggalas cabaran pada Kejohanan MAKSAK Games 2026 bagi acara pickleball peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 November 2026 di Shah Alam, Selangor.
Sebagai simbolik pelepasan kontinjen, satu Majlis Penyerahan Bendera MAKSAK Sarawak telah diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat MAKSAK Sarawak, Semawi Mohamad yang mewakili Yang Dipertua MAKSAK Sarawak.
Dalam amanatnya, beliau mengingatkan seluruh atlet dan pegawai kontinjen supaya sentiasa mengekalkan disiplin, semangat kesukanan serta kerjasama berpasukan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.
Beliau turut berharap agar setiap atlet dapat mempamerkan prestasi terbaik, bersaing dengan penuh komitmen dan menjadikan kejohanan berkenaan sebagai platform memperkukuh semangat berpasukan serta hubungan silaturahim antara penjawat awam dari seluruh negara.
Penyertaan kontinjen MAKSAK Sarawak dalam kejohanan itu mencerminkan komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan dalam kalangan penjawat awam, di samping menyemai budaya hidup sihat, berdaya saing dan semangat kesukanan.
Kontinjen MAKSAK Sarawak diharap dapat memberikan saingan terbaik serta mengharumkan nama Sarawak menerusi pencapaian membanggakan di pentas kebangsaan.-EDISI UKAS