RM8.1 Bilion Naik Taraf Sistem Bekalan Air Sarawak Dalam Tempoh Lima Tahun
LAWAS: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM8.1 bilion bagi menaik taraf sistem bekalan air di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air yang lebih stabil dan menyeluruh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peruntukan itu merangkumi pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur bekalan air, termasuk di kawasan yang memerlukan penyelesaian segera terhadap masalah gangguan bekalan.
“Peruntukan ini adalah untuk kita menaik taraf sistem bekalan air kita seperti apa yang dikatakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi tadi dan dimohon Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (untuk Lawas),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu dan Simbolik Pelancaran Sambungan Grid 275kV ke Lawas dan Limbang di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pelaksanaan projek bernilai RM8.1 bilion itu turut disokong oleh strategi kewangan kerajaan negeri, termasuk peningkatan kadar royalti air daripada 2.5 sen kepada 5 sen.
“Peningkatan kadar royalti ini membolehkan Sarawak menjana hasil sekitar RM1.3 bilion setahun, sekali gus membantu membiayai pembangunan infrastruktur negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peruntukan besar sahaja tidak mencukupi tanpa perancangan dan pelaksanaan projek yang teliti bagi memastikan sistem bekalan air berfungsi secara berkesan serta mampu memenuhi keperluan rakyat.
Jelasnya, aspek reka bentuk kejuruteraan perlu mengambil kira keadaan sungai, aliran air dan faktor hujan bagi memastikan sistem pengambilan air mentah dapat beroperasi dengan baik serta mengurangkan risiko gangguan bekalan.
Mengambil contoh masalah bekalan air yang pernah berlaku di Mukah, beliau berkata, pemeriksaan di lapangan mendapati sistem pengambilan air di tepi sungai terhalang akibat timbunan sisa kayu dan pokok sehingga menjejaskan aliran air ke loji rawatan.
Sehubungan itu, beliau mahu aspek reka bentuk kejuruteraan diberikan perhatian serius, khususnya dalam menentukan kedudukan sistem pengambilan air yang mengambil kira aliran utama sungai bagi memastikan bekalan air mentah sentiasa mencukupi.
“Kalau kita reka bentuk, kita mesti reka bentuk dengan betul. Saya minta jurutera membuat kajian dan memastikan sistem pengambilan air sentiasa mempunyai sumber air yang mencukupi,” katanya.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.-EDISI UKAS