Kitar Semula Kaca Buka Peluang Ekonomi Kraf Komuniti Luar Bandar
BETONG: Penghasilan produk kraf daripada bahan kaca terpakai membuka ruang kepada komuniti luar bandar di Betong untuk meneroka peluang ekonomi baharu melalui pemindahan kemahiran, inovasi reka bentuk dan pembangunan produk berpotensi pasaran menerusi Projek Pembangunan Kraf Komuniti Luar Bandar (RCCDP) : Hope in A Bottle 2.0.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha seumpama itu berpotensi menyokong kelestarian alam sekitar, selain membuka peluang kepada komuniti menghasilkan produk kreatif yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian dan penutupan RCCDP : Hope in A Bottle 2.0 - Glass Workshop di Rumah Panjang Semumok Baroh, di sini, pada Jumaat.
Inisiatif yang melibatkan 74 peserta dari Rumah Panjang Merunjau dan Rumah Panjang Semumok Baroh itu turut memperkenalkan teknik pemprosesan dan kitar semula kaca kepada produk kraf, sekali gus menggalakkan pemanfaatan bahan buangan sebagai sumber nilai ekonomi.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa pengusaha kraf luar bandar, khususnya golongan wanita, melalui penguasaan kemahiran yang berpotensi membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi isi rumah.
Projek yang diterajui Jawatankuasa Agrokraf Borneo (JKAB) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak itu dilaksanakan selama empat hari, melibatkan bengkel di Rumah Panjang Merunjau pada 17 dan 18 November serta Rumah Panjang Semumok Baroh pada 19 dan 20 November.
Sepanjang bengkel, peserta mengikuti latihan praktikal memproses botol kaca dan bahan plastik terpakai menjadi produk kraf serta barangan yang mempunyai nilai guna dan potensi pasaran.
Pengerusi JKAB, Datin Rosemarie Wong berkata, projek berkenaan memperlihatkan keupayaan pengusaha kraf luar bandar meneroka inovasi dengan mengubah bahan buangan menjadi produk yang mempunyai nilai ekonomi.
Menurut beliau, sokongan MTCP serta kerjasama pihak industri, khususnya Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd, penting dalam menyediakan peralatan, kemudahan dan pengetahuan teknikal bagi menyokong pelaksanaan projek.
Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd turut menaja peralatan khusus untuk pemprosesan dan kitar semula kaca secara selamat, manakala The Ranee menyediakan panduan reka bentuk serta bimbingan bagi membantu memastikan produk yang dihasilkan mempunyai nilai pasaran.
Bengkel itu turut menampilkan artis kaca dari Vietnam, Duc Phan Minh, yang berkongsi teknik pemprosesan kaca serta pengetahuan teknikal kepada peserta tempatan, sekali gus memperkukuh pertukaran kepakaran kreatif serantau.-EDISI UKAS