BELAGA: Pendidikan terus menjadi pemangkin kepada pembentukan masa depan generasi muda Belaga, dengan pelajar diseru memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan, selain mengukuhkan disiplin, sahsiah dan kesungguhan dalam mengejar kejayaan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang berkata, pendidikan bukan sekadar membina pengetahuan, malah berperanan membentuk kemahiran, nilai diri dan keupayaan generasi muda untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan, Apresiasi dan Tamat Persekolahan Pendidikan Khas, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di Dewan Sri Jayong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga, pada Jumaat.
Menurut Datuk Liwan, pelajar perlu menetapkan matlamat, memberi tumpuan terhadap pembelajaran serta memanfaatkan pelbagai peluang dan bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak, termasuk peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar sentiasa menghargai nasihat guru dan ibu bapa, menjaga disiplin serta menghindari gejala negatif yang boleh menjejaskan perjalanan pendidikan dan masa depan mereka.
Katanya, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum juga penting selain pencapaian akademik kerana mampu membentuk kepimpinan, kemahiran komunikasi, kerjasama, pemikiran serta sahsiah pelajar secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Datuk Liwan turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik SMK Belaga atas komitmen mendidik dan membimbing pelajar, sambil menegaskan kejayaan anak didik merupakan antara kebanggaan terbesar seorang guru.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah berkenaan turut menyeru pelajar agar menghargai jasa guru dan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan mereka menuntut ilmu.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah bagi mengiktiraf pencapaian pelajar dalam bidang akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sahsiah, selain meraikan pelajar yang menamatkan persekolahan pada 2026.
Anugerah Tokoh Pelajar 2026 (Keseluruhan) dimenangi Susianna Kyle Steward dari Tingkatan Enam Aspirasi 2, manakala Anugerah Tokoh Pelajar Asrama Lelaki diberikan kepada Oliver Bilong Chau dan Tokoh Pelajar Asrama Wanita kepada Sisianna Kyle Steward.
Anugerah Tokoh Pelajar Harian Lelaki dimenangi Hendrick Lagiew Huvang dari Tingkatan Lima Courage, manakala Tokoh Pelajar Harian Wanita diberikan kepada Magdelyn Aren Dennis dari Tingkatan Lima Ambitious.
Evellyne Joshua dari Tingkatan Lima Brilliant menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum, manakala Hendrick Lagiew Huvang turut diiktiraf sebagai Tokoh Sahsiah Terpuji.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Belaga Thomas Uning, Pengetua SMK Belaga Andrew Bang, wakil Pegawai Daerah Belaga ADO Zain Rocky, Yang Dipertua PIBG SMK Belaga Linus, serta Ketua Polis Daerah Belaga DSP Jimbai Bala.-EDISI UKAS