Sukan Lengkapi Pembentukan Murid Seimbang, Bukan Akademik Semata-Mata
SARIKEI: Pembangunan murid perlu merangkumi kecemerlangan akademik dan penglibatan dalam aktiviti sukan bagi melahirkan generasi yang sihat, berdisiplin serta memiliki sahsiah dan semangat kesukanan yang tinggi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, aktiviti sukan merupakan sebahagian penting dalam pendidikan kerana membantu membentuk perkembangan murid secara menyeluruh, termasuk kecergasan fizikal, minda dan nilai diri.
“Saya berharap murid-murid selain belajar bersungguh-sungguh, turut melibatkan diri dalam aktiviti sukan supaya mempunyai tubuh badan yang sihat dan minda yang cergas.
“Dalam pertandingan, murid perlu mematuhi peraturan, menghormati pihak lawan dan mengamalkan semangat persahabatan serta kesukanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sukan Tahunan SJK Wah Man 2026 di Kompleks Sukan Sarikei, pada Jumaat.
Ahli Parlimen Sarikei itu juga menggalakkan murid agar tidak hanya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran, malah turut aktif dalam kegiatan sukan bagi membina keseimbangan antara pencapaian akademik dan kesihatan fizikal.
Dalam pada itu, Dato Sri Huang turut menegaskan komitmennya terhadap pembangunan sekolah dan kebajikan murid, termasuk melalui bantuan pakaian seragam serta kasut sekolah bagi memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selesa dan yakin.-EDISI UKAS