Empat Usahawan Baharu Wellbest Terima Geran Pelancaran RM5,000
DEBAK: Empat usahawan baharu menerusi Program Usahawan Wellbest Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menerima geran pelancaran sebanyak RM5,000 setiap seorang bagi membantu memulakan perniagaan, khususnya dalam sektor pengeluaran makanan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, geran berkenaan disediakan bagi membolehkan peserta mendapatkan peralatan serta bahan mentah yang diperlukan sebagai modal awal membangunkan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas dan Mini Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) Daerah Debak Tahun 2026 di Dewan Millenia, Debak, pada Sabtu.
Menurut beliau, kebanyakan penerima baharu terlibat dalam perniagaan produk makanan, termasuk makanan bermasak dan makanan kering, dengan sokongan bantuan itu diharap dapat menjadi asas kepada pengembangan usaha keusahawanan mereka.
Selain bantuan kewangan, peserta Program Usahawan Wellbest turut menerima bimbingan selama dua tahun bagi meningkatkan kemahiran serta membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan secara lebih berdaya maju.
Ujarnya, program berkenaan turut membuka peluang kepada peserta untuk menyertai Karnival Usahawan Wellbest yang dianjurkan setiap tahun sebagai platform memasarkan produk serta memperluas peluang jualan kepada orang ramai.
Menurut Datuk Dr Mohammad Razi, program itu turut membuktikan potensi peserta untuk berkembang apabila terdapat usahawan Wellbest terdahulu yang berjaya meningkatkan perniagaan sehingga mampu menghasilkan produk sendiri.
Beliau berharap penerima geran memanfaatkan bantuan dan bimbingan yang disediakan, selain mengekalkan komitmen, usaha serta kesungguhan untuk membawa perniagaan masing-masing ke tahap lebih baik.-EDISI UKAS