RM24.07 Juta Bantuan Kebajikan Disalurkan Di Betong Dalam Tempoh Sembilan Bulan
DEBAK: Seramai 5,401 penerima bantuan bulanan di Bahagian Betong menerima bantuan kerajaan melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM24.07 juta bagi tempoh sembilan bulan sehingga Oktober 2026, mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong golongan memerlukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, usaha memperluas capaian perkhidmatan kebajikan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga berpendapatan rendah, khususnya di kawasan luar bandar, terus diberi perhatian bagi memastikan golongan sasar mendapat akses kepada bantuan dan perkhidmatan yang disediakan.
“Statistik Bahagian Betong sehingga Oktober 2026 menunjukkan lebih 5,401 penerima menerima bantuan bulanan melibatkan bantuan negeri dan persekutuan, dengan perbelanjaan terkumpul bagi tempoh sembilan bulan berjumlah RM24,074,150,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas dan Mini Program Outreach Santuni Komuniti (POSKOM) Daerah Debak Tahun 2026 di Dewan Millenia, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Dr Mohammad Razi, selain bantuan bulanan, pelbagai inisiatif kerajaan negeri turut dilaksanakan bagi menyokong kebajikan masyarakat, antaranya Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Bantuan Perubatan, Bantuan Alat Tiruan atau Sokongan, Kad Kenyalang yang merekodkan 24,737 pemegang sejak 2020 serta Bantuan Ihsan Kematian dengan 302 permohonan.
Turut dilaksanakan ialah Senior Citizen Health Benefit (SCHB) yang merekodkan 10,006 permohonan bagi tempoh Januari hingga September 2026, selain program komuniti dan kempen pendaftaran OKU.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar turut memainkan peranan menyebarluaskan maklumat mengenai perkhidmatan JKM kepada individu dan keluarga yang layak supaya bantuan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai golongan sasar.
Dalam pada itu, Sambutan Hari Warga Emas turut menjadi platform menghargai sumbangan, pengalaman dan pengorbanan golongan berkenaan yang menjadi sebahagian penting dalam pembangunan masyarakat.
Beliau berkata warga emas bukan beban, sebaliknya merupakan aset bernilai yang memiliki pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan serta berperanan menyampaikan nilai dan pengetahuan kepada generasi seterusnya.
Penganjuran Mini POSKOM bertujuan mendekatkan perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada masyarakat, selain menjadi platform interaksi dua hala bagi mengenal pasti keperluan komuniti serta menyampaikan maklumat berkaitan bantuan dan perkhidmatan kebajikan.-EDISI UKAS