MBM Perkukuh Komitmen Jadikan Miri Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) terus memperkukuh komitmen dalam menjadikan Miri sebuah bandar raya inklusif, selamat dan mesra kanak-kanak menerusi usaha memperkasakan penyertaan golongan muda dalam pembangunan bandar.
Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, kanak-kanak bukan sekadar generasi pemimpin masa depan, malah merupakan sebahagian penting dalam masyarakat yang berhak didengari, dihormati dan diberi ruang menyuarakan pandangan.
Menurutnya, Hari Kanak-Kanak Sedunia bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya menjadi peringatan kepada semua pihak mengenai tanggungjawab bersama dalam memastikan hak perlindungan, pendidikan, kasih sayang dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program CFCI Go Blue For World Children’s Day 2026 di Dewan Bandaraya Miri pada Jumaat.
Adam Yii berkata, penubuhan Majlis Kanak-Kanak Bandaraya Miri (Miri City Child Council) merupakan langkah penting dalam menyediakan platform kepada golongan muda untuk berkongsi pandangan, idea dan cadangan berkaitan perkara yang mempengaruhi kehidupan serta kesejahteraan mereka.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ahli majlis berkenaan supaya berani menyuarakan pendapat, berfikiran kreatif dan bertindak secara bertanggungjawab kerana sumbangan kepada pembangunan bandar raya tidak perlu menunggu sehingga mereka dewasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen MBM untuk terus membangunkan Miri sebagai Bandar Raya Peranginan Antarabangsa yang Hijau, Pintar dan Paling Selesa Diduduki dengan mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak.
Katanya, usaha berkenaan merangkumi penyediaan kawasan rekreasi yang selamat, kemudahan awam mesra kanak-kanak, persekitaran bersih serta peluang pendidikan dan perlindungan daripada pengabaian, penderaan serta diskriminasi.
Beliau turut menyeru golongan kanak-kanak supaya terus menimba ilmu, berani meneroka peluang, menghormati ibu bapa dan guru serta menggunakan teknologi dan media sosial secara bijak dalam kehidupan seharian.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Arifin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Matlamat Pembangunan Mampan Jamil Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Sekolah Jalong Wan.- EDISI UKAS