Penglibatan Korporat Penting Pelihara Kelestarian Pantai dan Marin
MIRI: Penglibatan sektor korporat dalam usaha memelihara alam sekitar perlu diperkukuh bagi memastikan kelestarian ekosistem pantai dan marin terus terpelihara, khususnya di bandar pesisir seperti Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif pembersihan pantai anjuran Dayang Enterprise Holdings Berhad mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menterjemahkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Tanggungjawab korporat bukan hanya dinilai berdasarkan prestasi perniagaan, malah turut merangkumi sumbangan terhadap kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kempen Pembersihan Pantai 2026 bertemakan ‘Cleaner Beach, Greener Tomorrow’ di Pantai Luak Esplanade, Miri, pada Sabtu, yang melibatkan kira-kira 172 peserta terdiri daripada kakitangan syarikat, wakil sektor swasta, Majlis Bandaraya Miri (MBM), badan berkanun serta sukarelawan.
Dato Sri Lee berkata, pantai dan ekosistem marin merupakan aset penting Miri yang menyokong sektor pelancongan, menyediakan ruang rekreasi serta membentuk identiti bandar raya, justeru perlu dipelihara melalui usaha berterusan dan pengurusan sisa yang berkesan.
Beliau turut menekankan kepentingan amalan Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula (3R) dalam kehidupan seharian, termasuk mengelakkan sampah memasuki sistem perparitan dan sungai yang akhirnya mencemari laut.
Katanya, usaha berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya Matlamat 12 berkaitan penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab serta Matlamat 14 mengenai kehidupan di bawah air.
Dato Sri Lee berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi contoh kepada lebih banyak syarikat swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang serta wakil Dayang Enterprise Holdings Berhad Datuk James Ling Suk Kiong.- EDISI UKAS