Ignite 1000 Youth Perkasa Potensi Belia, Bentuk Pemimpin Masa Depan Sarawak
MIRI: Seramai lebih 1,100 golongan belia menyertai Program Ignite 1000 Youth bertemakan “Empower The Youth, Shape The Future” bagi memperkukuh potensi generasi muda dalam bidang pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan.
Menuurt Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat, program anjuran SABERKAS Cawangan Lambir itu dirangka sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai pelbagai peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan kerjaya yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan program bertemakan “Empower The Youth, Shape The Future” berkenaan di sini, pada Sabtu.
Katanya, sesi perkongsian bersama Yayasan Sarawak mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) dan Inisiatif Pendidikan Sarawak 2027 penting dalam membantu golongan muda, khususnya pelajar sekolah menengah, merancang hala tuju pendidikan serta memilih bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.
Selain itu, penglibatan Sarawak Skills turut memberi pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal dan latihan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran belia, khususnya lepasan sekolah yang sedang mencari peluang pekerjaan.
Dalam aspek keusahawanan, perkongsian menerusi inisiatif Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta Sarawak Youth Startup (SYStartUP) pula membuka ruang kepada belia untuk meneroka peluang perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk mekanik, pertanian, penternakan dan perkhidmatan.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan belia tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, kepimpinan, semangat kerjasama serta keupayaan menyesuaikan diri dalam masyarakat berbilang kaum.
Sehubungan itu, aktiviti pembinaan pasukan yang dilaksanakan sepanjang program berkenaan bertujuan menggalakkan interaksi antara peserta daripada latar belakang berbeza, sekali gus memupuk perpaduan, semangat berpasukan dan jaringan persahabatan dalam kalangan belia.
Beliau berharap pengalaman serta ilmu yang diperoleh sepanjang program itu dapat dimanfaatkan peserta apabila kembali ke komuniti masing-masing, seterusnya melahirkan generasi muda yang berani memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dan mampu menjadi pemacu pembangunan Sarawak.
Program selama tiga hari dua malam bermula 20 hingga 22 November itu turut menampilkan aktiviti suai kenal, pembinaan pasukan, sesi perkongsian pendidikan dan keusahawanan, Youth Got Talent, senamrobik serta aktiviti sukan sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah.- EDISI UKAS