SERIAN: Seramai 30,039 pengunjung menghadiri Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Serian sepanjang dua hari penganjurannya, mencerminkan sambutan masyarakat terhadap inisiatif kerajaan membawa perkhidmatan dan maklumat terus ke peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, pendekatan bersemuka membolehkan masyarakat berurusan secara langsung dengan agensi kerajaan, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan penjelasan berkaitan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.
“Melalui pendekatan seperti ini, masyarakat dapat berurusan secara bersemuka dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat serta memahami pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian, di sini pada Sabtu.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 8,632 pengunjung direkodkan pada hari pertama, manakala 21,407 pengunjung hadir pada hari kedua, menjadikan jumlah kehadiran sepanjang program sebanyak 30,039 orang.
Menurutnya lagi, penganjuran siri ke-10 SKS itu turut menghimpunkan 48 agensi kerajaan yang menawarkan 152 jenis perkhidmatan, selain pameran pembangunan, ruang niaga usahawan tempatan, saringan kesihatan serta aktiviti riadah dan kebudayaan.
Sehubungan itu, Datuk Martin berharap program seumpama itu terus memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat serta membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar dan Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Ibanez Jeffery Guang, Muhammad Rais Sanusi & George Embie