Kestabilan Politik, Kepimpinan Berwawasan Pacu Kemajuan Sarawak
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik, kepimpinan berwawasan dan sokongan rakyat menjadi antara pemacu utama kemajuan ekonomi serta pembangunan Sarawak, sekali gus membolehkan negeri ini meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital dan hijau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kesinambungan dasar pembangunan daripada kepimpinan terdahulu hingga kini menyediakan asas kukuh kepada Kerajaan Sarawak untuk memperluas peluang ekonomi, meningkatkan mobiliti rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.
Menurut beliau, peralihan kepada ekonomi baharu berteraskan teknologi digital dan ekonomi hijau di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, turut memperkukuh daya saing negeri dalam menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
“Pucuk kepimpinan Sarawak mempunyai visi yang jelas, memahami keperluan rakyat, sentiasa menyantuni denyut nadi rakyat serta bersikap terbuka dalam mendengar pandangan pelbagai pihak demi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat direalisasikan “ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama anak Sarawak sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Program anjuran Sarawak Volunteers itu menjadi platform menghimpunkan anak Sarawak yang menetap, bekerja dan melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, selain memperkukuh hubungan serta membuka ruang interaksi dua hala antara masyarakat Sarawak di perantauan dengan barisan kepimpinan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Amar Fadillah menegaskan komitmen Sarawak untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingannya berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, usaha mengembalikan hak Sarawak telah mencatat pelbagai pencapaian, namun masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan rundingan lanjut dan penyelesaian melalui saluran perundangan.
Antara perkara yang terus diberi perhatian ialah usaha memastikan gabungan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat bagi memperkukuh perlindungan terhadap kepentingan kedua-dua wilayah itu, khususnya membabitkan pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.
“Perkara ini penting kerana terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang melindungi hak Sabah dan Sarawak. Jika kedua-dua wilayah ini tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi di Parlimen, terdapat risiko pindaan terhadap peruntukan berkenaan boleh dilakukan tanpa sokongan mereka,” katanya.-EDISI
UKAS