Rundingan PETRONAS-PETROS Fokus Capai Persefahaman Komersial, Optimum Hasil Sarawak
KUALA LUMPUR: Rundingan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus memberi tumpuan kepada usaha mencapai persefahaman komersial yang dapat mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak, sekali gus mengoptimumkan potensi hasil minyak dan gas Sarawak untuk manfaat rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, pendekatan rundingan secara komersial menjadi antara langkah penting bagi membolehkan PETRONAS dan PETROS melaksanakan peranan masing-masing dalam industri minyak dan gas negeri ini.
Menurut beliau, sebarang persefahaman yang dicapai perlu mengambil kira kerangka perundangan Persekutuan dan Sarawak, termasuk Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) yang menjadi antara asas perundangan negeri dalam sektor berkenaan.
Jelasnya, penyelesaian melalui rundingan komersial diharap dapat dicapai tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses mahkamah, sekali gus membuka ruang kepada pengoptimuman hasil negeri bagi membiayai pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama anak Sarawak sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Sabtu.
Datuk Amar Fadillah turut menegaskan bahawa usaha memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira bidang kuasa serta tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan itu penting khususnya dalam perkara yang melibatkan hubungan antarabangsa dan urusan rentas sempadan yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.
“Apa yang terbaik ialah kita berada dalam Malaysia dan mencari jalan untuk mengoptimumkan hak yang sepatutnya diperoleh Sarawak, sambil mengimbangi kepentingan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan bahawa perjuangan mendapatkan hak Sarawak berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan akan terus dilaksanakan melalui rundingan serta saluran perundangan yang sewajarnya.
Menurutnya, meskipun pelbagai pencapaian telah direkodkan, masih terdapat beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan rundingan lanjut bagi memastikan kepentingan Sarawak terus terpelihara dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Sementara itu, Datuk Amar Fadillah turut menyeru generasi muda Sarawak supaya memperkukuh penguasaan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan membina jati diri bagi menghadapi perubahan landskap ekonomi serta pasaran pekerjaan.
Katanya, kejayaan bukan semata-mata bergantung kepada kelayakan akademik, sebaliknya turut menuntut kesediaan untuk terus belajar, memahami bidang yang diceburi dan mengamalkan nilai diri yang positif.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan kepimpinan perlu dinilai berdasarkan sumbangan dan manfaat berpanjangan yang dapat diwariskan kepada masyarakat, bukannya pencapaian peribadi semata-mata.
“Legasi yang paling penting bukanlah legasi untuk diri sendiri, tetapi legasi yang kita tinggalkan kepada rakyat dan memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Program AOK anjuran Sarawak Volunteers itu menjadi platform menghimpunkan anak Sarawak yang menetap, bekerja dan melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, selain memperkukuh hubungan serta interaksi dua hala antara masyarakat Sarawak di perantauan dengan kepimpinan negeri.-EDISI UKAS