MSSB Betong Juara Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2026
KUCHING: Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Betong dinobatkan sebagai juara Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2026, sekali gus melayakkan pasukan itu mewakili Sarawak ke Petronas Youth Football Champions League (PYFCL) pada 7 hingga 13 Disember ini.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad Betong meraih satu kuota penyertaan tajaan PETRONAS Sarawak bagi beraksi dalam kejohanan berkenaan yang bakal berlangsung di Padang KDFA dan Stadium Taha Ariffin, di sini.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dato Omar Mahli berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu perlu terus diperkasakan sebagai pelaburan strategik jangka panjang dalam membangunkan bakat sukan serta modal insan anak Sarawak, khususnya di peringkat akar umbi.
“Setiap pemain harus diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya untuk menunjukkan kebolehan dan potensi mereka.
“Bakat yang dikenal pasti pula perlu dibimbing secara berterusan melalui latihan yang sistematik, program pembangunan yang tersusun dan pendedahan kepada pertandingan yang lebih kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Pertandingan Bola Sepak Piala Emas Rebutan Yayasan Sarawak 2026 di Stadium Taha Ariffin, pada Sabtu.
Kejohanan enam hari itu menghimpunkan 12 pasukan MSSB melibatkan 240 pemain, 116 pegawai pasukan serta 200 ahli jawatankuasa pengelola dalam kalangan warga pendidikan.
Dalam saingan berpasukan, MSSB Samarahan muncul naib juara, manakala MSSB Sarikei meraih tempat ketiga dan MSSB Limbang menamatkan saingan di tempat keempat.
Sementara itu, MSSB Betong turut mendominasi anugerah individu perlawanan akhir apabila Mohamad Shahrizan Buang dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Perlawanan Akhir dan Muhammad Fariqh Dzulhaslami Abdullah dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Anugerah Penjaring Terbanyak pula dikongsi oleh Danish Darren Edruce (MSSB Limbang) dan Fedrick Ekih Mathew (MSSB Betong) yang masing-masing meledak lima jaringan.
Ashraff Kifraiee dari MSSB Samarahan menerima Anugerah Pemain Harapan, manakala MSSB Miri dianugerahkan Anugerah Fair Play.
Kejohanan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Yayasan Sarawak itu bertujuan menyediakan platform kompetitif kepada murid berusia 13 hingga 16 tahun untuk menggilap bakat bola sepak serta membuka laluan ke peringkat yang lebih tinggi.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Bahagian Operasi) Yayasan Sarawak Mohamad Adzlie Ibrahim yang mewakili Pengarah Yayasan Sarawak, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Rahayu Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Mua’zamir Jili. - EDISI UKAS