Pendidikan Awal Perlu Bentuk Keyakinan Diri, Sahsiah Kanak-Kanak
MIRI: Pendidikan awal kanak-kanak perlu memberi penekanan kepada pembentukan keyakinan diri, sikap berdikari serta keprihatinan terhadap masyarakat.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pendidikan berkualiti bukan sahaja mempunyai pencapaian akademik yang baik, malah berakhlak, berani menghadapi cabaran dan menghormati orang lain.
“Aktiviti seperti persembahan pentas dalam konsert tahunan tadika turut menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang membantu kanak-kanak membina keyakinan diri, bekerjasama dan mengatasi perasaan malu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi dan Konsert Tahunan 2026 Tadika Cahaya Bintang Utara, di sini pada Ahad.
Dato Sri Lee berkata, keberanian kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun membuat persembahan di hadapan orang ramai merupakan satu pencapaian yang perlu dihargai, tanpa terlalu menitikberatkan kesempurnaan persembahan mereka.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ibu bapa memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak untuk mencuba perkara baharu, selain menghargai bakat serta kebolehan masing-masing.
Dalam aspek pembentukan sikap berdikari, beliau berkata ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak melakukan tugasan mudah mengikut kemampuan dan usia mereka, termasuk mengemas permainan, menyusun kasut serta membantu menyediakan meja makan.
“Ibu bapa tidak seharusnya terlalu cepat melakukan segala-galanya untuk anak-anak, sebaliknya perlu memberi ruang kepada mereka untuk mencuba, melakukan kesilapan dan belajar memperbaikinya sendiri,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS