Ikan Sungai Berpotensi Jana Pendapatan Penduduk Luar Bandar
MIRI: Potensi sumber perikanan sungai seperti ikan tapah perlu dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi alternatif bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar menerusi aktiviti perikanan lestari dan agropelancongan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, masyarakat luar bandar perlu meneroka kepelbagaian sumber ekonomi tempatan selain bergantung kepada sektor tanaman kelapa sawit.
Menurut beliau, pemilihan kegiatan ekonomi perlu mengambil kira potensi pasaran dan pulangan bagi memastikan sumber tempatan dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Ikan tapah, misalnya, boleh dijual pada harga tinggi apabila cukup besar, sekali gus memberi peluang kepada penduduk untuk menambah pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Tabih yang julung kali diadakan di sini baru-baru ini.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, penganjuran pesta berkenaan turut membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan ikan tapah Baram kepada pengunjung, sekali gus berpotensi mengembangkan sektor pelancongan berasaskan sumber tempatan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan penduduk supaya mengamalkan penangkapan ikan secara lestari dengan mengelakkan aktiviti menangkap ikan ketika musim pembiakan bagi memastikan populasi ikan tapah terus terpelihara.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dato Dennis Ngau mencadangkan agar Pesta Tabih Long Bemang dijadikan acara berkala dan dipromosikan bersama produk kebudayaan serta tarikan alam semula jadi di pedalaman Baram.
Beliau berkata, gabungan pelbagai acara dan aktiviti pelancongan berpotensi mewujudkan pakej lawatan yang lebih menarik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Antara tarikan yang boleh diketengahkan termasuk ‘Baram Cultural Festival’ di Long Lama, ‘Highland Folk Music and Dance Festival’ di Long Banga serta aktiviti berakit di Ulu Tinjar, Long Sobeng, Long Luyang dan Sungai Apoh, Long Atip.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat turut menyaksikan aktiviti menangkap ikan tapah di Sungai Apoh.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara Senator Michael Mujah Lihan, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Datu Dominic Chunggat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang dan Ketua Kampung Long Bemang Rebiem Deng. -EDISI UKAS