BINTULU: Masyarakat rumah panjang dan luar bandar perlu beralih daripada menjual hasil pertanian mentah kepada penghasilan produk hiliran bagi meningkatkan nilai ekonomi komoditi tempatan dan pendapatan isi rumah.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pendekatan pertanian yang selama ini tertumpu kepada pengeluaran hasil perlu diperluas kepada aktiviti pemprosesan, pemasaran dan pengedaran.
Menurut beliau, komoditi tempatan seperti dabai, durian dan ikan mempunyai potensi untuk diproses menjadi pelbagai produk makanan yang mampu memberikan pulangan lebih tinggi.
“Dabai, durian dan ikan boleh diproses menjadi pelbagai produk termasuk aiskrim dan makanan lain yang mampu menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) 2026, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, usaha meningkatkan nilai hasil pertanian itu turut menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai pendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 bagi setiap isi rumah menjelang 2030.
Bagaimanapun, peralihan kepada model perniagaan baharu memerlukan masyarakat luar bandar menguasai teknologi, meningkatkan kemahiran serta menerima kaedah pertanian dan pengurusan perniagaan yang lebih moden.
Sehubungan itu, kerajaan akan memperkukuh sokongan menerusi latihan oleh Jabatan Pertanian, selain bantuan pembiayaan dalam bentuk geran dan pinjaman melalui agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menekankan kepentingan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian kerana mereka berpotensi dilatih untuk menerapkan teknologi dan kaedah baharu dalam kegiatan ekonomi luar bandar.
Beliau berkata, penduduk juga perlu mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan menggabungkan tanaman bermusim dan tanaman yang boleh diusahakan sepanjang tahun bagi memastikan sumber pendapatan lebih stabil.
“Saya percaya perkara ini bukan hanya untuk petani, tetapi nelayan juga perlu mempelbagaikan kegiatan ekonomi masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan ekonomi luar bandar perlu disokong kemudahan infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik serta capaian Internet yang lebih baik bagi memudahkan aktiviti pengeluaran dan pemasaran produk.
Beliau turut menggesa supaya pelaksanaan AgriCOP diperluas ke lebih banyak rumah panjang bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peluang dalam sektor pertanian, latihan serta bantuan kewangan yang disediakan kerajaan.
Katanya, usaha susulan penting bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh menerusi program berkenaan dapat diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang berdaya maju.
Masyarakat luar bandar juga disaran memanfaatkan pemilikan tanah sebagai aset ekonomi dengan mengusahakannya secara produktif bagi menjana pendapatan tambahan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat, Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan dan Tuai Rumah Mahmud Perit. -EDISI UKAS