KMKK Diseru Perkukuh Pengetahuan Teknologi Hadapi Perubahan Semasa
PAKAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru agar terus memperkukuh pengetahuan serta keupayaan diri, khususnya dalam bidang teknologi, bagi menyesuaikan peranan kepimpinan dengan perkembangan semasa.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, perubahan teknologi yang pesat menuntut pemimpin masyarakat untuk sentiasa mengikuti perkembangan baharu.
Beliau mengambil contoh perubahan sistem pembayaran daripada penggunaan wang tunai kepada kad kredit dan kini kod QR yang memperlihatkan kemudahan teknologi dalam kehidupan seharian.
"Pendedahan terhadap kemajuan teknologi penting agar KMKK dapat memahami perubahan yang berlaku serta membimbing masyarakat mengikut keperluan semasa.
“Sekarang semua urusan menjadi lebih mudah dan semuanya berada di hujung jari. Perkembangan ini merupakan cabaran yang perlu kita hadapi,"katanya.
Tan Sri William Mawan berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK, bertempat di Pejabat Daerah Pakan, baru-baru ini.
Seramai 50 orang KMKK menerima sijil pelantikan masing-masing bagi menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat di kawasan yang telah ditetapkan.-EDISI UKAS