Aktiviti MAKSAK Limbang 2026 Tarik Sokongan Pelbagai Pihak
LIMBANG: Sebanyak RM45,000 berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan beberapa pihak bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Limbang sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sumbangan tersebut terdiri daripada RM30,000 daripada beliau sendiri, RM10,000 daripada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan RM5,000 daripada Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
“Jadi keseluruhannya MAKSAK pada tahun ini menerima RM45,000 untuk mengadakan aktiviti. Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan bagi menjayakan pelbagai aktiviti ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Futsal MAKSAK Bahagian Limbang pada Sabtu.
Menurutnya, tiga aktiviti sukan utama dianjurkan di peringkat bahagian tahun ini iaitu pickleball, futsal dan badminton bertujuan menggalakkan penglibatan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan penjawat awam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, gelanggang khusus pickleball sedang dibina di kawasan Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menyediakan kemudahan sukan yang lebih sesuai.
Sementara itu jelasnya, beberapa program utama turut dijadualkan berlangsung menjelang penghujung tahun, termasuk Hari Belia dan Motorday pada 25 hingga 29 November, Pesta Badudun dan Lumba Kerbau pada 4 hingga 6 Disember serta Sambutan Ambang Tahun Baharu 2027.
Beliau berharap penganjuran pelbagai aktiviti berkenaan dapat diteruskan pada tahun hadapan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat serta memberi limpahan ekonomi kepada sektor perkhidmatan dan peniaga tempatan.
Hadir sama Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr. Norliza Jusoh, Bendahari MAKSAK Bahagian Limbang, Arni Kassim dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang, Bulhaji Wahab.-EDISI UKAS