SJK(C) Chung Hua Tatau Sambut Ulang Tahun Ke-100, Terus Perkasa Pendidikan Dan Perpaduan
BINTULU: SJK(C) Chung Hua Tatau terus menjadi institusi pendidikan penting dalam melahirkan generasi berilmu serta memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan Tatau.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pencapaian bersejarah itu mencerminkan komitmen berterusan pihak sekolah, ibu bapa, alumni dan masyarakat setempat dalam memastikan kesinambungan pendidikan sejak penubuhannya pada 1926.
“Di sinilah anak-anak kita belajar, bermain, berinteraksi dan membesar bersama-sama tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun budaya. Inilah semangat ‘Segulai Sejalai’ yang sebenar,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sambutan satu abad di Dinner World Restaurant pada Sabtu.
Menurut beliau, kejayaan sekolah itu bertahan selama satu abad adalah hasil pengorbanan dan kerjasama semua pihak, termasuk pengasas, Lembaga Pengelola Sekolah, guru besar, guru-guru serta komuniti setempat.
Katanya, keunikan SJK(C) Chung Hua Tatau terserlah apabila kira-kira 78 peratus daripada keseluruhan muridnya terdiri daripada kaum bukan Cina, sekali gus membuktikan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum terhadap institusi pendidikan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan pihak sekolah memanfaatkan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran, termasuk penggunaan 12 unit papan pintar disumbangkan menerusi sokongan Kerajaan Sarawak dan dilancarkan pada 11 September 2026.
Beliau berharap kemudahan tersebut dapat digunakan sepenuhnya bagi mewujudkan suasana pembelajaran lebih interaktif, kreatif dan berkesan, selaras dengan perkembangan pendidikan semasa.
Tambahnya, tema sambutan “Seabad Melangkah Bersama, Membina Impian Masa Hadapan” mencerminkan semangat kebersamaan semua pihak dalam meneruskan legasi pendidikan serta membina masa depan lebih cemerlang.
Justeru, beliau berharap SJK(C) Chung Hua Tatau akan terus berkembang sebagai institusi pendidikan progresif yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah menjadi wadah perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.-EDISI UKAS