Bantuan, Subsidi Pendidikan Awal Ringankan Beban Ibu Bapa
BINTULU: Bantuan Pendaftaran dan Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak terus memberi manfaat kepada murid-murid, sekali gus membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan pendidikan awal anak-anak.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, inisiatif Kerajaan Sarawak itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pendidikan awal kanak-kanak serta membantu keluarga mendapatkan akses kepada pendidikan dan pengasuhan yang berkualiti.
“Pada tahun 2026, seramai 58 murid Tadika Bestari menerima Bantuan Pendaftaran sebanyak RM100 seorang.
“Manakala 43 murid turut menerima manfaat Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak dengan kadar bantuan sehingga RM1,000 seorang setahun,” katanya berucap dalam Majlis Graduasi Kali Ke-24 Tadika Bestari Tahun 2026 di Hotel Kemena pada Ahad.
Menurut Johnny Pang, bantuan berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan komitmen kewangan keluarga, selain memberi lebih ramai kanak-kanak peluang mengikuti pendidikan awal yang baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti atas sokongan terhadap usaha memperkukuh akses pendidikan awal kanak-kanak.
Katanya, pendidikan awal bukan sahaja memberi pendedahan kepada kemahiran asas membaca dan mengira, malah membantu membentuk kemahiran berkomunikasi, berdikari, bersosial serta keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan dan potensi tersendiri yang perlu dikenal pasti serta dikembangkan melalui bimbingan guru dan sokongan ibu bapa.
Beliau turut menggalakkan ibu bapa supaya terus memberikan masa, perhatian dan galakan kepada anak-anak dalam perjalanan pendidikan mereka.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili, wakil Pengurus Tadika Bestari, Ustaz Kautsar Ali, Pengerusi PIBG Tadika Bestari, Mohd Nazareth Aripin serta Guru Besar Tadika Bestari, Sadah Hussin.- EDISI UKAS