Jaringan Perhubungan Tiga Kampung Di Tarat Dipertingkat Menerusi Projek Bernilai RM3 Juta
SIBURAN: Jaringan perhubungan antara Kampung Tijirak, Kampung Sinjok dan Kampung Siga bakal dipertingkat menerusi pelaksanaan projek naik taraf jalan bernilai RM3 juta yang merangkumi penambahbaikan beberapa laluan utama dan lorong kampung.
Projek di bawah program keutamaan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak menerusi agensi pelaksana Majlis Daerah Serian (MDS) dan dilancarkan di Dewan Serbaguna Kampung Tijirak, pada Isnin.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu GKCDA, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn aspek saliran dan kawasan yang sering dilanda banjir perlu diberi perhatian serius bagi memastikan pelaksanaan projek mengambil kira keperluan penduduk dalam jangka panjang.
Beliau berkata, beberapa kawasan di Kampung Tijirak dan Kampung Siga sering berdepan masalah banjir sehingga menyebabkan pembentung sedia ada rosak atau dihanyutkan arus deras.
Menurut beliau, keadaan berhampiran gereja dan sungai yang sering dinaiki air perlu diteliti bagi mengelakkan gangguan pergerakan penduduk, manakala penggunaan jalan Kampung Sinjok oleh kenderaan berat berkaitan pembangunan perumahan berhampiran turut perlu dikaji bagi memastikan keselamatan pengguna.
Beliau turut meminta jabatan dan agensi berkaitan meneliti kemudahan utiliti, khususnya paip bekalan air yang melalui kawasan kampung, supaya peningkatan jumlah penduduk dan pengguna tidak menjejaskan bekalan air kepada masyarakat setempat.
“Semua perkara ini perlu diselesaikan demi kemudahan dan keselamatan penduduk kampung. Kita mahu pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya semasa berucap pada majlis perlancaran berkenaan.
Projek yang diluluskan kira-kira dua tahun lalu itu melibatkan kerja-kerja penurapan semula dan pelebaran jalan, penggantian pembentung, penambahbaikan sistem perparitan serta pembinaan dan pemanjangan tembok gabion bagi perlindungan cerun.
Bagi Kampung Tijirak, kerja-kerja melibatkan penurapan semula jalan persimpangan dari Lebuh Raya Pan Borneo ke Lorong Tijirak sepanjang kira-kira 1,260 meter dengan kelebaran 5.5 meter.
Ia turut merangkumi kerja-kerja pelebaran dan penurapan semula Lorong Tijirak 2 sepanjang 140 meter, Lorong Tijirak 4 sepanjang 130 meter serta Lorong Tijirak 5 sepanjang 55 meter, selain penggantian sebuah pembentung sedia ada.
Di Kampung Sinjok pula, skop kerja merangkumi pelebaran dan penurapan semula Jalan Kampung Sinjok sepanjang 115 meter, Lorong 1B Jalan 1A sepanjang 165 meter serta Lorong 1B Jalan 1B sepanjang 95 meter.
Projek turut melibatkan pembinaan dan penurapan jalan di Lorong 2B Kampung Sinjok sepanjang 150 meter.
Sementara itu, di Kampung Siga, penurapan semula Jalan Kampung Siga dari Dewan Kampung Siga hingga ke Jalan Kampung Sumud sepanjang kira-kira 900 meter turut dilaksanakan, termasuk pembinaan semula dan pemanjangan tembok gabion sepanjang 120 meter.
Selain kerja-kerja utama berkenaan, projek tersebut turut merangkumi pemasangan papan tanda dan kemudahan keselamatan jalan raya mengikut piawaian JKR R1, penambahbaikan kecil sistem perparitan, pemeriksaan kualiti kerja serta penyeliaan tapak.
Kerja-kerja ukur topografi, pengurusan trafik, pemindahan utiliti sekiranya diperlukan dan kerja tambahan yang terjejas akibat pelebaran jalan juga termasuk dalam skop pelaksanaan projek.
Projek bernilai RM3 juta itu dilaksanakan oleh Majlis Daerah Serian dengan Pembinaan P.N.H Utama sebagai kontraktor dan Aeroinfra Consult Sdn. Bhd. sebagai perunding, manakala tempoh pelaksanaan ditetapkan selama 12 bulan dengan tempoh tanggungan kecacatan selama 24 bulan.
Pelaksanaan projek tersebut dijangka mempertingkatkan kemudahan akses penduduk di Kampung Tijirak, Kampung Sinjok dan Kampung Siga, di samping menyediakan rangkaian jalan penghubung yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.-EDISI UKAS