Projek Jalan Alternatif RM10.8 Juta Tingkat Aksesibiliti Penduduk
SERIAN: Pembinaan jalan alternatif menghubungkan Kampung Sungai Riset ke Kampung Chupak bernilai RM10.8 juta dijangka meningkatkan kemudahan perhubungan serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek yang dilaksanakan di bawah program Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) itu merupakan antara inisiatif pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Projek berkenaan dilaksanakan susulan permohonan dan keperluan yang dikenal pasti oleh kepimpinan kampung,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek-Projek Pembangunan Kampung Chupak di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, sebanyak 12 projek pembangunan melibatkan kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti di Kampung Chupak turut diserahkan kepada penduduk menerusi majlis berkenaan.
Projek tersebut merangkumi kerja menaik taraf Eyak atau tempat mandi, tanah perkuburan Kristian, pembinaan konkrit fasa kedua, bilik gerakan, jalan pertanian dan jalan baharu di luar kampung.
Turut dilaksanakan ialah kerja membaik pulih dewan, menaik taraf padang bola sepak, pemasangan kipas siling, penyambungan bekalan elektrik kepada 27 rumah menerusi permohonan baharu, penurapan jalan dalam kampung serta pembinaan dua unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).
Tambah Dato Sri Roland, pelaksanaan pembangunan di peringkat kampung perlu berasaskan keperluan sebenar penduduk serta permohonan yang dikemukakan oleh kepimpinan setempat.-EDISI UKAS