RM4.5 Juta Diperuntuk Bagi Fasa 2 Projek Lampu Jalan Puncak Borneo
PADAWAN: Projek pemasangan lampu jalan di laluan Puncak Borneo bakal diperluaskan menerusi Fasa 2 yang melibatkan anggaran peruntukan RM4.5 juta bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr. Jerip Susil berkata, projek berkenaan akan melibatkan jajaran dari Kampung Gerung sehingga Kampung Annah Rais, susulan pelaksanaan Fasa 1 yang menelan kos RM2.53 juta.
“Peruntukan bagi Fasa 2 telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Induk Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) dan kini menunggu proses selanjutnya sebelum kerja-kerja pelaksanaan dimulakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemasangan Lampu Jalan Puncak Borneo Fasa 1 di sini, pada Isnin.
Projek Fasa 1 yang dilaksanakan oleh JKR Sarawak itu melibatkan pemasangan lampu jalan sepanjang kira-kira 12 kilometer bermula dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) sehingga Kampung Gerung.
Datuk Dr. Jerip berkata, pemasangan lampu jalan merupakan keperluan penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna, terutama mereka yang menggunakan laluan berkenaan pada waktu malam dan awal pagi.
Katanya, beberapa laluan lain di kawasan Mambong turut dikenal pasti untuk dipertimbangkan bagi pemasangan lampu jalan secara berperingkat.
Antaranya termasuk laluan Kampung Seratau–Kampung Mambong, Kampung Mambong–Kampung Sitang dan Bangau, Kampung Bowang–Kampung Git serta laluan menuju Kampung Jambu.
Perancangan itu turut merangkumi jalan pedalaman ke Kampung Sapit dan Kampung Kiding yang mempunyai bentuk muka bumi berbukit-bukau serta memerlukan pencahayaan mencukupi bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembangunan infrastruktur di kawasan Mambong turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan perhubungan menerusi projek menaik taraf Jalan Kampung Sapit bernilai RM20 juta dan Jalan Kampung Kiding bernilai RM10 juta.
Kedua-dua projek berkenaan dijangka mempertingkatkan akses penduduk, khususnya bagi menyokong aktiviti pertanian dan pembangunan pelancongan luar bandar di kawasan Puncak Borneo.-EDISI UKAS