Integriti Teras Graduan Mendepani Era Kecerdasan Buatan
KUCHING: Graduan Sarawak diseru menjadikan integriti sebagai asas dalam mengaplikasikan ilmu dan kepakaran, khususnya dalam memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital secara bertanggungjawab.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan teknologi yang pesat menuntut graduan bukan sahaja memiliki kepakaran, malah kebijaksanaan dalam menggunakan ilmu serta berpegang teguh pada nilai integriti.
“Dalam dunia yang semakin dipengaruhi AI dan teknologi digital, saudara dan saudari mesti menggunakan ilmu dengan bijaksana, memastikan ketepatan maklumat serta menjaga amanah yang diberikan.
“Kepakaran membolehkan kita mencapai kejayaan, tetapi integriti menentukan nilai sebenar kejayaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Konvokesyen Ke-28 Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa.
Menurut beliau, perubahan teknologi turut membentuk semula landskap dunia pekerjaan, sekali gus menuntut graduan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan ilmu dan kemahiran mereka kekal relevan dengan keperluan industri.
“Jangan berhenti belajar selepas memperoleh ijazah. Dunia pekerjaan sentiasa berubah dan ilmu yang kita miliki hari ini perlu terus diperkukuh,” katanya.
Beliau yang juga Canselor TAHOTECH menegaskan bahawa perubahan status institusi berkenaan kepada universiti penuh membawa tanggungjawab lebih besar dalam pembangunan ilmu, kepakaran dan bakat anak Sarawak.
Sehubungan itu, TAHOTECH perlu terus memperkukuh kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi bagi melahirkan graduan berdaya saing serta berupaya memenuhi keperluan industri masa hadapan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Mohamad Rais Sanusi