GETS- WRP Sasar 1,000 Graduan Sarawak, 600 Kekosongan Masih Dibuka Pengambilan Disember Ini
KUCHING: Seramai 1,000 graduan anak Sarawak disasarkan menyertai Program Graduate Enhancement Training Sarawak Work Readiness Programme (GETS-WRP) bagi Kohort 6 yang menawarkan peluang latihan pembangunan kerjaya dan penempatan industri selama 12 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Joseph Lim berkata, program inisiatif Kerajaan Sarawak itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan melalui latihan kemahiran insaniah selama tiga bulan sebelum menjalani latihan di industri selama sembilan bulan.
Menurutnya, bagi pengambilan Disember yang bermula pada 14 Disember ini, seramai 400 graduan telah dikenal pasti, manakala 600 lagi tempat masih dibuka untuk permohonan.
Beliau berkata, graduan yang menyertai program berkenaan akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,500 sepanjang tempoh 12 bulan yang ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
“Matlamat utama program ini adalah untuk menjadikan graduan kita lebih bersedia memasuki alam pekerjaan, bukan sahaja melalui kelayakan akademik, tetapi juga dengan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan pengalaman sebenar dalam industri.
“Kita mahu graduan mengambil peluang ini sebagai landasan permulaan kerjaya masing-masing kerana pengalaman kerja pertama boleh menjadi asas penting untuk mereka berkembang dan memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pavilion Sarawakku Sayang Bahagian Kuching di Metrocity pada Selasa.
Joseph berkata, program itu turut menyediakan peluang kepada graduan untuk menjalani latihan industri bersama lebih 200 syarikat rakan strategik SCOPE di seluruh Sarawak.
Tambahnya, jika peserta menunjukkan prestasi kerja yang baik dan terdapat kekosongan jawatan di syarikat berkenaan, mereka berpeluang memohon untuk diserap sebagai pekerja tetap.
Dalam pada itu, beliau menegaskan graduan tidak seharusnya terlalu memilih pekerjaan pertama kerana pengalaman dan pendedahan dalam alam pekerjaan merupakan asas penting untuk membina kerjaya jangka panjang.
Katanya, permohonan GETS-WRP dibuka sepanjang tahun dengan pengambilan baharu boleh dibuat setiap bulan, sekali gus memberi peluang kepada graduan yang tidak sempat menyertai pengambilan Disember untuk memohon pada bulan berikutnya.
Bagi melayakkan diri, pemohon mestilah anak Sarawak berumur 30 tahun ke bawah, memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS), memperoleh PNGK minimum 2.8 serta belum pernah menyertai atau memohon program berkenaan sebelum ini.
Program itu terbuka kepada graduan daripada pelbagai bidang pengajian termasuk sains sosial, sains komputer, perakaunan dan perniagaan.
Graduan yang melepasi ujian aptitud tersebut akan diterima menyertai program GETS-WRP.
Joseph berharap lebih ramai graduan Sarawak, khususnya mereka yang baru menamatkan pengajian dan sedang mencari pekerjaan, merebut peluang berkenaan sebagai langkah awal membina kerjaya profesional.-EDISI UKAS