Anak Luar Bandar Usah Hadkan Cita-Cita, Berani Bina Masa Depan
KUCHING: Anak-anak Sarawak yang berasal dari rumah panjang, kampung pesisir dan kawasan pedalaman tidak seharusnya mengehadkan cita-cita berdasarkan latar belakang atau lokasi tempat tinggal mereka.
Premier Sarawak merangkap Canselor Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, berbekalkan ilmu, usaha dan peluang yang sesuai, anak-anak luar bandar mampu mencapai kejayaan sebagai jurutera, saintis, pendidik, penyelidik dan pemimpin.
“Usah asal usul saudara dan saudari dianggap sebagai kekangan, sebaliknya jadikanlah ia sebagai sumber kekuatan. Jangan sesekali mengehadkan cita-cita hanya kerana berasal dari kawasan luar bandar.”
“Dengan ilmu, usaha dan peluang yang sesuai, saudara dan saudari mampu mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa.
Menurut beliau, pembangunan Sarawak ke arah sebuah wilayah maju perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman turut menikmati manfaat pembangunan.
Katanya, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan kemudahan telekomunikasi perlu diteruskan bagi memperluas akses rakyat kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang ekonomi.
“Dengan kemudahan infrastruktur yang baik, anak-anak dapat ke sekolah, pengusaha dapat membawa hasil ke pasaran dan masyarakat dapat memanfaatkan teknologi digital,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sektor pertanian, pelancongan komuniti, perusahaan makanan dan industri kreatif berpotensi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan bahawa pembangunan modal insan merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ujarnya, Sarawak memerlukan generasi yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah menguasai kemahiran, berfikiran kreatif dan berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta keperluan industri masa hadapan.
Pada majlis tersebut, seramai 597 graduan TAHOTECH diraikan sempena konvokesyen ke-28 universiti berkenaan.
Turut hadir, Pro-Canselor merangkap Pengerusi TAHOTECH, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Naib Canselor TAHOTECH, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi serta tetamu lain. –EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Mohamad Rais Sanusi