Belia Diseru Pilih Bidang Pengajian Selari Keperluan Tenaga Kerja Sarawak
PAKAN: Golongan belia di Sarawak digesa memilih bidang pengajian yang memenuhi keperluan tenaga kerja negeri bagi memastikan kepakaran yang dibina melalui pendidikan tinggi dapat menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom berkata, pemilihan kursus di peringkat diploma dan ijazah perlu mengambil kira bidang yang diperlukan kerajaan negeri serta mempunyai prospek kerjaya selepas tamat pengajian.
“Pilihlah bidang pengajian yang benar-benar diperlukan oleh kerajaan negeri supaya ilmu dan kepakaran yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk kemajuan Sarawak selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Santai Bersama Rakyat di Rumah Anthony Sungai Merah, Dayu Pakan, pada Isnin.
Menurutnya, peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu dimanfaatkan dengan memilih bidang yang bukan sahaja sesuai dengan potensi diri, malah relevan dengan permintaan tenaga kerja dalam pelbagai sektor pembangunan negeri.
Tan Sri Dato Sri William turut menggalakkan ibu bapa membimbing anak-anak dalam menentukan hala tuju pendidikan, khususnya bagi memastikan pemilihan bidang pengajian mengambil kira kesesuaian minat, potensi serta peluang kerjaya.
Katanya, pertimbangan terhadap permintaan tenaga kerja dan prospek pekerjaan penting bagi memastikan kelayakan akademik yang diperoleh dapat membuka peluang kerjaya, selain membentuk tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan dalam pelbagai sektor.
Justeru, pendidikan tinggi perlu dimanfaatkan bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan akademik, tetapi turut membina pengetahuan dan kepakaran yang mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan serta kemajuan Sarawak.-EDISI UKAS