Kerjasama Sarawak-Persekutuan Antara Fokus Pertemuan Premier Sarawak & Menteri Dalam Negeri
KUCHING: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin.
Premier Sarawak berkata, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana santai, namun belum ada kepastian mengenai pendirian Pakatan Harapan (PH) berhubung penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
“Semalam Datuk Seri Nasution ada berjumpa dengan saya sambil kami minum air Milo. Tetapi tidak ada kepastian.
“Beliau hanya memberikan maklum balas mengenai pendirian kita. Dan antara yang dibincangkan ialah kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial (SIAC) 2026 di sini pada Selasa.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook pada hari yang sama, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kunjungan beliau ke Sarawak bertujuan mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir