Sarawak Cadang Tubuh Pusat Latihan Penilaian Impak Sosial (SIA)
KUCHING: Sarawak bercadang menubuhkan pusat latihan khusus bagi penyelidikan dan pembangunan profesional dalam bidang Penilaian Impak Sosial (SIA).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat berkenaan bakal menyediakan pelbagai program latihan dan pembangunan kepakaran bagi memenuhi keperluan Malaysia, ASEAN serta negara membangun lain.
“Pengalaman Sarawak dalam pembangunan semula bandar, infrastruktur, pembangunan tanah, transformasi luar bandar dan sektor tenaga menyediakan peluang bernilai untuk pembelajaran secara praktikal.
Institusi seperti Institut Pembangunan Sarawak (SDI) dan Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, bersama universiti, MSIA serta rakan industri boleh menyumbang kepada pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial (SIAC) 2026 di sini, pada Selasa.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, program itu akan merangkumi penglibatan pihak berkepentingan, penempatan semula, pemulihan mata pencarian, Pelan Pengurusan Impak Sosial, pemantauan sosial serta integrasi ESG.
Dalam majlis itu, beliau menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang latihan, penyelidikan dan pembangunan mampan.
MoU pertama melibatkan LCDA, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan MSIA bagi membangunkan modul latihan SIA serta meneroka penubuhan pusat latihan, selain membuka peluang pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah melalui penyelidikan gunaan.
MoU kedua pula melibatkan LCDA dan ESG Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam amalan kelestarian dan pembangunan bertanggungjawab.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh serta Pengurus Besar LCDA, Datu Sr. Zaidi Mahdi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ameerul Syafiq Khir