Persiapan Venue Wushu Diperkasa Menjelang Sukan SEA 2027
KUCHING: Persediaan venue pertandingan wushu bagi Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 terus diberi perhatian menerusi satu lawatan pemeriksaan yang diketuai Presiden Persekutuan Wushu Sarawak, Allen Wong Siew Poh di Pusat Latihan Wushu Sarawak, di sini, pada Selasa.
Lawatan berkenaan melibatkan penyertaan beberapa agensi dan jabatan berkaitan bagi meninjau keadaan serta kemudahan venue berkenaan, selain menilai tahap kesediaannya untuk digunakan sebagai lokasi pertandingan pada temasya sukan serantau itu.
Pemeriksaan tersebut memberi tumpuan kepada aspek kesesuaian fasiliti dan keperluan venue bagi memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi serta keperluan pertandingan Wushu.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada siri pemeriksaan venue pertandingan Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 Kluster Sarawak oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan yang diadakan dari 23 November hingga 3 Disember 2026.
Sukan SEA Malaysia 2027 bakal berlangsung dari 18 - 29 September 2027 di Sarawak, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Temasya dwitahunan itu bakal menjadi platform penting untuk Sarawak mengetengahkan keupayaan negeri dalam menyediakan fasiliti sukan serta menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa.
Selain menjadi tuan rumah kepada 18 jenis sukan, Sarawak yang julung kalinya muncul sebagai tuan rumah juga akan menjadi venue pembukaan bertempat di Stadium Sarawak yang kini giat dinaik taraf. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Mia Amira Jalil