KEMBARA UKAS 2.0: Pembangunan Serian Terus Diperkasa, Kesejahteraan Rakyat Jadi Keutamaan
PEMBANGUNAN infrastruktur, peluasan akses pendidikan kemahiran dan pewujudan peluang ekonomi terus menjadi antara keutamaan masyarakat di Bahagian Serian dalam usaha meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.
Kemajuan penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan capaian Internet turut memberikan keyakinan kepada masyarakat setempat terhadap kesinambungan pembangunan di bahagian berkenaan.
Temenggung Bahagian Serian, Dato Henry Sadok berkata, kemajuan yang dicapai setakat ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat pembangunan.
“Secara keseluruhannya, pembangunan di kawasan Bidayuh di Bahagian Serian berada pada tahap memuaskan, terutama dari segi penyediaan infrastruktur asas yang penting untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk,” ujarnya kepada UKAS pada hari kedua Kembara UKAS 2.0 di Bahagian Serian.
Dalam pada itu jelasnya, usaha memperkukuh pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) turut menunjukkan perkembangan positif apabila dianggarkan antara 70 hingga 80 peratus kawasan telah melalui proses pengukuran perimeter menerusi inisiatif Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat cabaran berkaitan pertindihan tuntutan tanah yang memerlukan penyelesaian secara teratur dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Beliau berharap perkara tersebut dapat ditangani sebaiknya bagi memastikan proses pengiktirafan dan pembangunan tanah NCR dapat diteruskan tanpa menjejaskan hak masyarakat tempatan.
Percepat Pelaksanaan Projek Pembangunan
Dalam pada itu, Dato Henry turut berharap agar peruntukan pembangunan sebanyak RM1.5 bilion yang disalurkan kepada Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempercepat pelaksanaan projek yang dirancang.
Menurut beliau, pengukuhan kapasiti tenaga kerja dalam kalangan agensi pelaksana perlu diberikan perhatian bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan.
“Jadi kita amat berharap kerajaan dapat meneliti keperluan menambah tenaga kerja supaya setiap projek dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan peruntukan yang disediakan dapat dibelanjakan sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau percaya pelaksanaan projek secara cekap dan berkesan berpotensi membuka ruang kepada penyaluran peruntukan tambahan pada masa hadapan, sekali gus membolehkan lebih banyak keperluan masyarakat setempat diberikan perhatian.
Harapan terhadap kesinambungan pembangunan turut dikongsi pengusaha gerai makanan dari Kampung Praya, Padawan, Rita Jino yang melihat perancangan pembangunan di Teng Bukap dan kawasan sekitarnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.
Menurut Rita, beliau mengikuti perkembangan beberapa inisiatif pembangunan termasuk cadangan pembinaan kampus Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), pembangunan kilang kopi serta pusat komersial di Teng Bukap.
Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti perniagaan serta meningkatkan pendapatan penduduk.
Baginya, pembangunan bukan sekadar penyediaan kemudahan fizikal, malah perlu diterjemahkan melalui peluang ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan.
Rita Jino
531 Projek Pembangunan Bernilai RM1.5 Bilion Di Bawah GKCDA
Harapan masyarakat tersebut seiring dengan pelbagai inisiatif pembangunan di bawah GKCDA yang memberikan tumpuan kepada pengukuhan infrastruktur, kemudahan sosial dan pertumbuhan ekonomi.
Sejak 2023 hingga 15 Oktober 2026, sebanyak 531 projek pembangunan bernilai RM1.5 bilion direkodkan di bawah GKCDA.
Antaranya melibatkan 412 projek infrastruktur bernilai RM973.6 juta, 89 projek sektor sosial bernilai RM177.8 juta serta 26 projek sektor ekonomi bernilai RM332.1 juta.
Antara projek yang bakal memberikan impak kepada masyarakat setempat ialah pembinaan kampus baharu CENTEXS di Teng Bukap, Siburan, dengan peruntukan awal sebanyak RM4 juta.
Projek yang dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama 2027 itu bakal memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam kalangan belia dan masyarakat sekitar.
Aspek kesalinghubungan turut diperkukuh menerusi projek Lebuh Raya Serian-Gedong-Samarahan sepanjang 18.33 kilometer yang melibatkan kos keseluruhan RM860 juta serta projek menaik taraf Jalan Padawan Fasa 1 sepanjang kira-kira 14.9 kilometer dengan kos RM73.9 juta.
Turut diberikan perhatian ialah cadangan pembinaan Jalan Temong-Tepoi-Sadir Fasa 3 sepanjang sembilan kilometer dengan anggaran kos RM160 juta bagi melengkapkan jaringan perhubungan antara Tebedu dan Padawan.
Keseluruhan inisiatif tersebut mencerminkan pendekatan pembangunan yang menyeluruh, bukan sahaja dalam menyediakan kemudahan asas, malah memperluas akses pendidikan kemahiran, meningkatkan kesalinghubungan dan membuka peluang ekonomi baharu.
Bagi masyarakat setempat, ukuran sebenar kejayaan pembangunan bukan sekadar pada jumlah peruntukan atau bilangan projek yang dirancang, tetapi sejauh mana setiap inisiatif dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai dalam kehidupan seharian.
Itulah harapan masyarakat yang dibawa menerusi Kembara UKAS 2.0 agar setiap perancangan pembangunan terus bergerak ke arah pelaksanaan yang berkesan demi kesejahteraan rakyat.-UKAS