Tanjung Sepang Bakal Dibangunkan Sebagai Terminal Kapal Persiaran
KUCHING: Tanjung Sepang yang terletak di Santubong dikenal pasti sebagai lokasi pembangunan terminal kapal persiaran bagi membuka laluan pelayaran antarabangsa ke Sarawak, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, cadangan pembangunan itu melibatkan pembinaan jeti yang dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam bagi membolehkan kapal persiaran membawa pelancong terus ke Sarawak.
“Di Tanjung Sepang, kita akan membangunkan jeti yang dilengkapi kemudahan imigresen dan kastam. Kemudian, ia akan terus menuju ke arah Damai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, Matang pada Rabu.
Menurut beliau, syarikat kapal persiaran antarabangsa, Royal Caribbean dari Singapura, telah menghantar pasukan bagi meninjau laluan pelayaran yang berpotensi menghubungkan Singapura dengan Kuching, sebelum meneruskan perjalanan ke Bali atau Kota Kinabalu.
Jelasnya, pemilihan Tanjung Sepang mengambil kira faktor kedalaman perairan yang mencapai kira-kira 16 meter, sekali gus mengelakkan keperluan kerja pengorekan di muara Sungai Santubong yang memerlukan kos lebih tinggi.
Katanya, pembangunan jeti berkenaan akan disusuli pembinaan jalan raya yang menghubungkan kawasan itu dengan Damai bagi memudahkan pergerakan pelancong ke destinasi tarikan utama termasuk Kampung Budaya Sarawak dan pusat bandar Kuching.
Dalam pada itu, beliau berkata, laluan Jalan Sultan Tengah turut dinaik taraf kepada jalan berkembar dengan projek berkenaan kini dalam proses tender pembinaan, manakala kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan.
Selain itu dedahnya, sambungan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) ke Damai pada masa hadapan dijangka meningkatkan lagi kemudahan perhubungan dan akses pelancongan ke kawasan berkenaan.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: Shahril Haqim, George S. Embie