Sarawak Di Hati Pembesar & Pemimpin Dalam Serta Luar Negara
KUCHING: Sarawak terus mendapat tempat istimewa di hati pembesar dan pemimpin dari dalam serta luar negara, dengan kemakmuran dan keakraban hubungan yang terjalin menjadi antara tarikan untuk mereka berkunjung ke wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kunjungan kali keempat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke Sarawak memperlihatkan kecintaan baginda terhadap wilayah ini.
Menurut beliau, keakraban hubungan tersebut turut digambarkan oleh Sultan Pahang yang mengibaratkan Sarawak sebagai ‘cousin’ atau saudara sepupu ketika berkunjung ke Telok Melano.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor baru datang hari itu melawat Sarawak, dah empat kalinya melawat. Alhamdulillah kerana ia cinta dengan Sarawak.
“Ia melihat kemakmuran kita, maka mereka melawat. Sultan Pahang pergi Telok Melano, madahnya ‘cousin’ ia. ‘Cousin’. Sarawak adalah ‘cousin’ ia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kuching di Metro City, Matang, pada Rabu.
Menurut Premier Sarawak, kunjungan berterusan pembesar dan pemimpin dari dalam serta luar negara mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara Sarawak dengan pelbagai pihak.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa Sarawak akan terus mengamalkan sikap rendah hati serta memberikan tumpuan kepada pelaksanaan agenda pembangunan bagi memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Shahril Haqim & George S.Embie